Aug 30, 2010

Salahkah aku?


Sekian lama aku menanti satu waktu yang aku sendiri tidak pasti.. Tidak pasti bila, di mana, dan bagaimana... Salahkah aku punya harapan sekabur itu?


Aug 27, 2010

Nuzul Quran

Oleh;  Dr. Samsu Adabi  Mamat
Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia


Nuzul Al-Quran


Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga  seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:
Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)
al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.
Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:
”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)

Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran
Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.

Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah  SWT

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al-Qadar:1-5)

Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan  berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan  bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.

Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.

  Panduan
Dari maklumat serba sedikit di atas tadi sebenarnya banyak boleh dijadikan panduan kepada umat Islam seluruhnya. Antara panduan berkenaan ialah seperti:
1.      Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran
2.      Ayat pertama diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui perantaraan Pena dan Tulisan.
3.      Kelemahan umat Nabi Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.
 
    Apabila disebutkan bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam al-Quran itu maka ianya memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi fardu ‘ain dan fardu kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat dalam al-Quran. Tafsiran, kupasan analisa dan penyelidikan membolehkan umat Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini.
           
        Manakala penurunan al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah ‘iqra’’ iaitu ‘baca’ di mana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah mengiringi dengan ayat yang bermaksud; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” Keadaan ini menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang paling penting dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui umum melalui satu ungkapan bahawa: “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa”. 

Perkara ketiga ialah hikmah dari anugerah malam al-qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah.

Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-qadar, maka kalangan ulama ada menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam al-qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah SAW. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah SWT supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Dengan beribadah di sepuluh malam terakhir itu, mudah-mudahan akan dapat menemuinya sebagai bekalan kehidupan akhirat.
Kesimpulan     

        Sebagai kesimpulannya marilah kita sama-sama menghayati nuzul al-Quran ini sebagai suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai ‘kitab induk’ panduan Ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Memajukan manusia yang lebih penting adalah memajukan umat Islam terlebih dahulu melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi. Membaca al-Quran itu adalah suatu ibadah. Sekarang bolehlah kita panjangkan ‘membaca’ al-Quran itu kepada menganalisa, mengkaji, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam al-Quran dan seterusnya menghasilkan penulisan-penulisan yang akhirnya memajukan dunia ini dan khasnya memajukan umat Islam dan seterusnya mengeluarkan umat Islam dari belenggu kelemahan dan penghinaan. Umat Islam juga perlu mempertingkatkan amal ibadah terutamanya mengejar anugerah Tuhan yang tidak terhingga kepada umat Islam akhir zaman. Beribadah di 10 akhir Ramadhan memberikan kita peluang keemasan ganjaran pahala seolah-olah beribadah sepanjang hidup kita iaitu 1000 bulan (sekitar 83 tahun).

Aug 26, 2010

Anak bonda

Haha.. Entry yang lepas aku dah berjanji nak tunjukkan gambar anakku itu kan? Haha.. Harini memang aku dah pergi melawat Assyura dan aku dah mula rasa nak dapat anak laa pulak. Kah3.. Bila itu, siap pun tak tahu kecuali Dia.. ;)

Aug 23, 2010

Rakanku seorang ibu

Hari ini, sahabat karibku akan pulang dari negeri di bawh bayu. Bukan seorang, bukan berdua, tetapi bertiga bersama puteri sulung beliau. Esok insyaAllah akan aku kunjungi sahabatku di rumahnya untuk menatap wajah Nur Assyura yang aku gelar, anakku (sebut macam dalam iklan jenama Anakku).. Tak sabar aku nak tengok wajah anak kecil itu. Rakan baikku, seusia denganku, dan teman sekelas aku dahulu dah jadi ibu! What the fish, aku tak kawen lagi?! Haha.. Soon, dear.. I will get married soon.. Nanti kalau sempat aku mencapture gambar anakku, akan ku paparkan di sini.. Semoga berjumpa lagi dan nantikan perkhabaran dariku!

Syoknye shopping!!

Weeeww.. Haha.. Harini kami sekeluarga keluar membeli-belah bagi menambah keperluan di hari raya nanti. Syukur pada Mu ya Allah yang begitu pemurah memberikan rezeki dan memudahkan segala urusan menambah keperluan kami untuk meraikan ketibaan syawal nanti. Memang aku tahu masih panjang lagi masa yang ada untuk berhari raya, namun ayahanda telah memberikan peruntukan untuk kami menambah keperluan yang sedia ada, yang telah dibeli beberapa bulan yang lepas. Tahun ini, kami semua akan sedondon berwarna emas sekeluarga di pagi aidilfitri, insyaAllah.. Selain membeli keperluan di aidilfitri, aku juga telah membeli satu lagi keperluan sebelum memasuki alam pekerjaan tidak lama lagi. Segalanya telah selesai. Cuma pemeriksaan kesihatan sahaja yang perlu aku langsaikan esok hari. Moga-moga semuanya dipermudahkan, esok.

Aug 19, 2010

Pokok-pokok

Saya suka bunga-bungaan.. Pelbagai warna dan semua yang indah-indah. Jadi saya cuba mengeksploitasi ruang yang tidak seberapa di halaman rumah saya untuk kepuasan diri dan tatapan indah sekeluarga. Saya hanyalah seorang amatur yang minat dengan bunga-bungaan dan yang pasti saya bukanlah seorang yang begitu mahir dalam ilmu dan teknik penanaman seperti pemegang ijazah landskap dan yang seumpama dengannya. Sekadar minat sahaja.


Bunga-bungaan yang saya buat penstrukturan dan belaan semula setelah sekian lama meninggalkan rumah bagi urusan pengajian***



setelah rumput dimesin




penanaman semula



penanaman yang baru

Aug 13, 2010

Kalau dah rezeki....

Entri hari ini, aku ingin bercerita hal yang berkaitan dengan peristiwa yang menimpa aku hari ini. Selepas selesai waktu solat Jumaat, lebih kurang jam 2.30 ptg, aku memulakan urusan aku untuk ke KWSP dengan tujuan mahu membuka akaun KWSP aku. Setibanya di sana jam menunjukkan jam 3.oo petang. Setelah menyatakan tujuan aku di bahagian hadapan kaunter, aku pun diberikan nombor giliran dan dikehendaki menunggu sehingga nombor giliran aku dipanggil. Alhamdulillah kurang lebih 5 minit, nombor giliran aku pun dipanggil. Setibanya aku di kaunter, aku dilayan dengan baik sekali. Aku dimaklumkan bahawa aku telah pun mempunyai akaun KWSP aku sendiri memandangkan aku pernah bekerja selama 3 hari di sebuah pejabat kilang membuat wiper sebelum aku melanjutkan pelajaran aku di peringkat ijazah. Setelah selesai mengemaskini data, aku pun terus menuju ke pusat jualan laptop aku dengan tujuan mendapatkan kembali laptop yang telah aku hantar untuk tujuan diformat, memandangkan semalam aku telah menerima pesanan ringkas daripada pihak pusat jualan memaklumkan semuanya telah selesai dibaiki. Permintaan aku hanyalah untuk mereka menformat sahaja namun pihak pusat telah menukarkan skrin LCD, dan juga kipas laptop aku dan aku dicaj sebanyak RM225. Daripada tidak perlu membayar sebarang amaun, akhirnya aku dicaj sekian amaun. Kalau diikutkan, aku memang telahpun membawa amaun yang diminta itu. Namun dari segi teknikalnya, kesalahan terletak di pihak mereka yang memperbaiki tidak berdasarkan permintaan pelanggan, iaitu aku. Bukanlah marah sangat, cume sekadar meminta penjelasan dan keadilan. Alhamdulillah, pihak penjual memahami penjelasan aku, dan membenarkan aku membawa pulang laptop yang telah siap dibaiki ini secara percuma. Kalau rezeki, insyaAllah Allah akan permudahkan. Syukur.. Selain memang rezeki, kita perlu ingat, jangan mudah mengalah dan berusahalah mempertahankan hak kita. Selagi kita mampu untuk mempertahankannya, berusahalah.

Kira yang ringan itu pun sukar diangkat......

Setiap manusia itu berbeza. Kadang-kala mudah memberi dan sukar menerima. Namun ada juga yang sebaliknya. Kehairanan memuncak tatkala melihat manusia yang hanya tahu dan mahu menerima tetapi tidak sebaliknya. Bukankah dunia ini wujud secara berpasangan? Apabila kita banyak memberi, banyak jugalah yang akan kita terima. Cuma siapa pemberi itu yang kita tidak maklum.. Yang berat kira dipikul beramai-ramai, ringan jugalah jadinya. Andai yang ringan itu pun dianggap berat untuk diangkat, ke mana perginya nilai akal dan budi yang dikurnia Illahi? Sentiasalah kita percaya, roda yang bulat itu pasti bergerak. Adakala kita di atas, dan ada masanya kita di bawah..

Aug 12, 2010

Jangan pilih jalan itu!


Jangan pernah sekali kita pilih untuk menjadi golongan terbuang andai masih terlalu banyak daya untuk berjuang. Jangan pernah biarkan diri menjadi yang disisih kerana hidup terlalu singkat untuk hilang rasa dikasih. Jangan pernah cuba berhenti walau sekali untuk menitip cinta. Kerana cinta itu milik Nya yang dianugerahkan buat kita. Jangan cuba berjauhan dari cinta kerana amanah akan menjadi mudah buat si khalifah kerana nikmat cinta itu sangat indah. Jangan pernah pinta untuk merasa dibenci, kerana sekali rasa itu hadir, selamanya mudah terlekat rasa itu buat kita. Jangan pernah cuba berkelaku jahil, kerana jahil itu mirip yang tidak berakal. Jangan pernah cuba lari dari rasa kerdil padaNya, kerana semakin jauh berlari semakin tinggi taraf kekerdilan itu. Cukuplah berkasih, mengasih, dan dikasih. Nikmat itu cukup besar natijahnya. Jangan pernah sesekali kita pilih jalan itu!

Aug 11, 2010

Selangkah ke hadapan

Hari ini hari pertama bulan ramadhan. Antara bulan Islam yang paling umat Islam di Malaysia peka, selain bulan Syawal. Mungkin kalau bulan lain, tak perasan pun bulan apa. Muharam ke, bulan apa, kita pun tak perasan. Itulah kelemahan kita dalam mengangkat bulan-bulan Islam dan kesungguhan yang tidak seberapa dalam mengangkat nilai keagamaan. Termasuklah juga aku yang menulis ini.Astaghfirullahal a'zim.. Moga-moga bulan penuh rahmat dan barakah ini menjadi platform yang baik memohon keampunan dan keredhaan bagi kita di dunia dan di akhirat kelak..

Semalam aku telah pun mengambil offer letter untuk kerja aku. Alhamdulillah setelah sekian bulan menanti, aku dapat juga melangkah masuk ke dalam dunia kerjaya dengan organisasi yang baik.. Allah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dia hadirkan sesuatu yang terbaik buat kita dalam keadaan kita tidak tahu dan hanya Dia yang Maha Mengetahui. Semoga segala-galanya berjalan dengan lancar dan aku pohon keredhaan daripada Nya. Segala pujian dan kebesaran kutitipkan buat Nya Pemilik dan Pentadbir seluruh alam.. Syukur atas semua kurniaanMu.. Alhamdulillah..

Aug 3, 2010

Hujan dan panas

Dalam sesuatu perhubungan, pasti akan wujudnya perselisihan. Bumi mana yang tidak pernah ditimpa hujan, lautan mana yang tidak berombak. Sedangkan lidah lagi tergigit. Itulah antara kalimah-kalimah yang biasa kita dengar bagi menggambarkan keadaan sebenar sesebuah perhubungan. Sebelum kita mempunyai sebarang komitmen dengan insan lain, perkara yang perlu diber perhatian adalah kesediaan untuk menerima perselisihan yang pasti akan berlaku. Setelah kesediaan itu wujud, barulah kita akan benar-benar memahami bahawa perselisihan bukanlah sebuah masalah, tetapi sebaliknya cabaran yang pasti akan hadir dan perlu untuk ditempuh. Keupayaan dalam menghadapi cabaran tersebut yang berbeza-beza bagi setiap individu. Ada yang kuat dan ada yang lemah. Perkara itu yang akan menjadi titik pemisah bagi suatu perhubungan dengan perhubungan yang lain. Kehidupan setiap yang bergelar insan pasti akan diduga dengan pelbagai cabaran. Keupayaan akan meningkat disebabkan oleh ilmu yang ditimba dan pengalaman yang dilalui dalam kehidupan seharian. Akal yang diberi Tuhan inilah yang akan mengawal keadaan permasalahan itu dan bukan sebaliknya. Pelbagai formula penyelesaian perlu diteroka dan mungkin dicipta untuk meningkatkan keupayaan menyelesaikan setiap konflik yang berlaku. Setiap yang bermasalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Cuma manusia harus berikhtiar. Besar kecil masalah itu jua hanya Allah yang Maha Mengetahui. Semuanya punya hikmah tersendiri. Apa yang paling penting adalah keupayaan merungkai segala kekusutan ibarat tarik rambut dalam tepung, tepung tak selerak, rambut tak putus. Mungkin kekurangan ilmu dan pengalaman akan membataskan. Namun tiada salahnya bertanya pada yang berpengalaman. Barangkali mereka lebih pakar. Walau cabaran kian mendatang dan berbeza pada setiap perhubungan, jangan pernah lupa pada kesilapan lalu. Belajar daripada sejarah kerana sejarah mungkin berulang. Kiranya kaedah lama sudah usang untuk digunapakai, bereksperimenlah.. Kerana kehidupan ibarat hujan dan panas yang silih berganti. Pasti tiada yang kebal daripada diuji. Makin kuat kita diuji, makin sayang Allah pada kita..Tanpa hujan apalah erti panas..