Apr 8, 2010

Belajarlah untuk bersyukur


Dalam Quran pun ada disebut, bahawa mungkin kita tidak menyukai sesuatu itu, walhal Allah tahu bahawa itu yang terbaik untuk kita, manakala ada sesuatu perkara yang kita sukai walhal ianya buruk untuk kita. Jadi, bersykurlah dengan apa yang kita ada kerana ianya untuk kebaikan kita juga. Memang sifat Allah adalah Maha Mengetahui, jadi biarkan Dia yang menentukan segalanya. Tidak perlulah kita gusar dan sering mempertikaikan segala kejadianNya. Memang mungkin pahit untuk kita telan, tetapi apa yang lebih penting, kita perlu untuk belajar. Belajar bersyukur. Memang mula-mula ianya bukan mudah tapi perlu untuk kita belajar. Belajar untuk mengetahui, memahami, dan untuk mendalami sesuatu kejadian dan peristiwa itu. Madah memang mudah. Namun tindakan yang kadangkala menyeksakan. Sebab itulah kita perlu BELAJAR untuk bersyukur, sebab manusia memang sentiasa amatur dengan masalah. Tidak pernah ada manusia yang pakar menyelesaikan masalah sendiri. Percayalah! Kerana Allah sentiasa menguji dan menduga. Allah sentiasa tanpa jemu membantu manusia mendekatkan diri kepadaNya. Allah sentiasa memberi ruang dan peluang untuk manusia bercinta denganNya. Cuma terkadang manusia leka. Kadang kala ia bukan terkadang, tapi selalu. Manusia selalu lupa. Memang maksud kata asal perkataan manusia itu sendiri ialah lupa. Nasiya.. Lupa.. (Kalau salah tolong betulkan, terima kasih) Sebab itu dalam suatu Surah yang lain, Allah menyuruh kita  berpesan-pesan ke arah kebaikan dan kebenaran. Bukan mengajar tetapi berpesan. Maknanya banyak manusia yang tahu tapi lupa. Leka. Manusia itu memang ciptaan yang terbaik. Sifat manusia itu sendiri telah diterangkan bahawa kita memang sebaik-baik kejadian yang ada di muka bumi ini (ahsani taqwim). Cuma kita sering menzalimi diri kita sendiri. Bukan sebab kita tak tahu, tapi kita terleka dengan nikmat dunia. Namun siapa kata dunia perlu kita tinggalkan? Cuma ukhrawi yang perlu didahulukan. Tinggal dan kemudian adalah dua perkara yang nyata berbeza! Namun sekali lagi, bermadah memang mudah. Pelaksanaan itu yang seringkali mengundang gundah.. Aku bukan sekadar ingin berkongsi rasa hati, tapi juga mendekatkan diri. Aku sering lupa, sering alpa. Jangan kata Melayu saja mudah lupa. Tetapi manusia secara holistiknya, memang mudah lupa. Tapi sedar atau tidak, lupa itu juga satu nikmat. Bayangkan saja kita tidak lupa walau satu perkara pun yang pernah kita lalui di muka bumi ini. Tidak pernah lupa walau satu moment pun dalam kehidupan seharian kita, alangkah saratnya minda kita. Alangkah suramnya hidup kita. Mengingati semua kesedihan, mengingati semua kegembiraan. Barangkali gila juga kita dibuatnya. Maka benarlah apa sahaja yang Allah ciptakan. Lupa juga satu nikmat. Belajarlah untuk bersyukur. Bukan saja untuk kalia, tapi juga untuk aku yang menulis ini. Aku mudah lupa. Lupa untuk bersyukur.

No comments:

Post a Comment