Jun 21, 2010

Interview. . .

Pagi tadi dalam jam 722 aku telah dihantar oleh ayahku ke KL sekali lagi untuk tujuan temuduga di sebuah menara yang terletak di tengah-tengah metropolitan itu. Jawatan Eksekutif ditawarkan kepada aku. Aku seronok dengan interview yang aku jalani tadi. Suasana tenang dan menambahkan keyakinan yang aku sangat perlukan ketika itu. Aku ditanya dengan pelbagai soalan yang perlu aku jawab. Alhamdulillah semuanya mampu aku jawab dengan yakin dan aku berpuashati. Sekarang ini semuanya bergantung kepada rezeki aku. Sekiranya ada rezeki aku disana maka adalah. Sekiranya tiada, ada yang lebih baik daripada apa yang aku hadapi sebentar tadi. Terima kasih Tuhan kerana memberikan aku peluang tadi.

Jun 19, 2010

Selepas lima hari aku memberi ruang kepada diri aku sendiri, kini aku kenal siapa diri aku. Training yang aku hadiri sangat bermakna bagi aku. Masakan tidak. aku hanya mampu mengucapkan rasa syukur kepadaNya dan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada trainers aku, Joe, Alang dan Ida yang telah banyak membantu aku mengenal siapa diri aku sebenarnya. Banyak sekali perkara yang aku pelajari semasa aku di sana. Seronok, bosan, letih, penat, sayang, bimbang, bersemangat, bertanggungjawab, semuanya aku telah rasakan. Segala perasaan itu lahir daripada dalam diri aku sendiri dalam mengenali siapa diriku ini. Sungguh menakjubkan apabila aku melihat kebanyakan peserta lelaki yang menjalani traning bersamaku yang turut menzahirkan rasa kesedihan dan tangisan mereka di hadapan semua teman-teman pejuangku yang lain. Ternyata berbeza! Terima kasih semua.. Aku sayang kamu..

Jun 12, 2010

"Keruntuhan keluarga telah melahirkan generasi yang lemah"

Kata-kata ini telah aku pinjam daripada seorang tokoh yang terkenal iaitu Rajmohan Gandhi.. Beliau merupakan cucu kepada Mahatma Gandhi. Aku setuju dengan kata-katanya yang merujuk keseluruhan generasi yang lemah berpunca daripada institusi kekeluargaan yang lemah. Di Malaysia, rata-rata masalah sosial dan psikologi yang berlaku adalah disebabkan kelemahan ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka. Aku sesungguhnya sangat kesal dengan kebanyakan ibu bapa yang kurang ilmu keibubapaan dan akhirnya anak yang menjadi mangsa. Seeloknya, didiklah anak mengikut keadaan anak itu sendiri dan lunaskan tanggunjawab sebagai ibu bapa menurut lunas-lunas Islam. Contohnya, kenalpasti kebolehan anak dan psikologi mereka dengan mendalam. Kenali sifat anak mengikut tururan kelahiran, bakat, kelebihan, kelemahan dan kemudiannya didiklah mereka menjadi hamba Allah yang sempurna didikannya. Anak-anak adalah amanah Allah. Jangan sesekali mendidik anak mengikut emosi semata-mata tanpa memikirkan akibat daripada tindakan yang diambil. Fikirlah bahawa anak-anak yang soleh yang akan mendoakan kesejahteraan ibu bapa selepas pemergian ibu bapa itu kelak. Belajarlah untuk mendidik kerana ilmu untuk mendidik itu sangat penting dan perlu ditimba dari hari ke hari. Didiklah anak mengikut usia kerana dalam Islam ada menyebut tentang perbezaan fasa dalam mendidik anak iaitu bermula daripada lahir sehingga anak berusia 7 tahun, ibu bapa perlu bermain dengan mereka, bermanja dengan mereka dan berlemah-lembut dalam didikan. Apabila anak berusia 7 tahun sehingga 14 tahun, pendekatan tegas perlu diambil dalam mendisiplinkan anak-anak terutamanaya dalam hal berkaitan ibadah dan akhlak, dan setelah berusia 14 tahun sehingga 21 tahun, ibu bapa perlulah melayan mereka seperti rakan agar segala yang tersembunyi di lubuk hati dapat diselami. Apa yang paling penting adalah ilmu keibubapaan itu tidak boleh sama sekali dipandang enteng kerana kelak akan membinasakan hati dan nurani anak itu sendiri yang akhirnya akan membawa kepada lemahnya generasi yang sepatutnya kuat dalam mendepani cabaran mendatang. Islam itu indah.Pelajari dan amalkanlah. Wallahualam..

Jun 8, 2010

Moga bunga semakin mekar

Cinta
Seluruh isi bumi ada ceritera cintanya
Dari sejarah Mumtaz dan Shah Jehan
Tidak kurang Teruna dan Dara
Begitu juga Majnun dan Laila
Hinggalah Romeo dan juga Julietnya

Terbitnya cinta tidak mengira ceruk
Wujud dalam segenap pelosok
Tiada sempadan bisa menyorok
Itulah cinta tiada berolok

Andai di dunia tiada cinta
Sungguh gersang hidup terasa
Hampa jua tiada dinamika
Kerna itu Tuhan hadirkan cinta
Agar hidup penuh perasa

Namun jangan sekali kita lupa
Pada Tuhan Sang Pencipta
Jua pernah Plato berkata
Siapa yang tak terharu oleh cinta
Ibarat berjalan dalam gelita

Benar sejarah tiada disangkal
Bercerita seniman segala pandangan
Puisi, syair, dan juga roman
Tulisan ilmiah dilupa jangan
Walau nuansa penuh pelbagai
Teologis, fenomenologis, psikologis mahupun sosiologis.

Cinta itu penuh pelbagai
Dinyatakan oleh Jalaluddin Rumi
Cinta itu penuh misteri
Tiada madah bisa mewakili
Moga cinta penuh suci
Terus kekal nan abadi

Jun 4, 2010

Persediaan pakaian raya dan wanita

Hari raya tanpa wanita.. Confirm bosan.. Haha.. Kenapa agaknya? Cuba kita fikir, apabila menjelang hari raya, siapa yang akan menjadi agen penggerak? Tentunya wanita kan.. Peruntukan yang diberi untuk wanita berbelanja juga memang besar berbanding lelaki. Kenapa yek? Haaa.. Pastinya kerana pakaian yang ingin dipakai oleh wanita berbagai-bagai warna dan fesyen. Lelaki hanya baju melayu sahaja. Tidak banyak fesyen yang boleh digayakan. Paling-paling pun sekadar bertukar warna baju melayu dari tahun ke tahun. Itu pun hari raya kedua ramai yang hanya memakai t-shirt sahaja. Itu hal berkaitan pakaian. Tidak lagi dikira kuih-muih langsir segala.. Apa pun kita perlulah berwaspada dalam berbelanja. Tidak perlu membazir dan berlebih-lebihan, Yang penting jangan lupa ada yang perlu kita bantu kerana mereka lebih memerlukan dan menderita. Bantu sahaja sesiapa pun asalkan mereka manusia seagama dengan kita. Saudara-mara, sahabat handai, jiran tetangga, atau sesiapa sahaja yang sangat memerlukan, hulurkan lah mereka bantuan sekiranya kita mampu. Itu adalah lebih baik daripada berlebih-lebihan berbelanja untuk diri sendiri. Lebih berkat. Tidak semestinya kita perlu berhabis beribu-ribu ringgit. Bantulah sekadar termampu. Kalau mampu tiada salahnya bukan?

Dalam entry aku hari ini, aku ingin bercerita persiapan hari raya aku, adik perempuan aku, dan juga ibuku.. Hehehe.. Ayah telah memperuntukkan sejumlah wang untuk kami bertiga shopping. Memabg seronok. Macam dah lama sahaja tidak shopping rasanya.. Haha.. Maka aku pun apa lagi. Seperti kebiasaan wanita mudah sahaja rambang mata melihat pakaian yang ada. Mujur aku masih waras dan rasional dalam urusan pembelian. Pakaian yang cantik dengan harga yang berpatutan aku kira telah aku peroleh. Kali ini aku memilih warna hitam sebagai warna pakaian di Aidilfitri. Tidak ku tetapkan lagi ingin ku pakai pakaian hitam itu pada hari ke berapa. Yang pasti pakaian yang perllu dijahit telah ku upah sejak minggu lepas. Putih, pink, biru dan yang terbaru hitam. Cuma bezanya yang hitam itu kubeli pakaian yang telah siap. Hehe.

Kepada si dia, aku teringin nak pakai pakaian hitam itu bersama-sama beliau satu hari nanti.. Alahai... ;)

Jun 3, 2010

Perasaan selepas ditemuduga

Selesai sudah urusan temuduga aku yang pertama kali selepas pengajian ijazahku. Hehe.. Hari ini entry blog aku ini sampai dua kali.. Hehe.. bukan apa, sekadar respon kepada entry sebelum ini. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Ternyata aku tak takut pun dalam sesi temuduga tadi. Relax saja rasanya.. Hurm, cuma permulaan sahaja kecut melihatkan bangunan tinggi-tinggi yang ada di situ. Maklumla, Kuala Lumpur kan.. Di Seremban mana ada bangunan pencakar langit macam di KL. Haha.. Bukan jakun cuma sedikit kecut apabila membayangkan yang aku akan berada di dalam perut bangunan tersebut.

Setibanya aku di sana, jam menunjukkan 1230. Temuduga dijanjikan akan berjalan pada jam 2.00 petang. Tetapi ayah aku tiba awal. Lalu kami menjamu selera di kawasan berdekatan bangunan tersebut. Tapi aku dah kenyang minum susu pagi tadi jadi hanya ayah sahaja yang menjamu selera pada waktu tengahari itu. Walaupun diajak untuk sama-sama menjamu selera, aku tetap menolak kerana memang ketika itu perut terasa masih belum lapar lagi di samping tidak mahu bau-bauan yang kurang menyenangkan seperti bau ikan dan makanan-makanan lain yang keluar dari mulut aku ketika sesi temuduga berjalan. Maka aku hanya minum air bandung sahaja tadi. Selesai ayah menjamu selera, aku oun terus menuju ke tempat yang dinyatakan walaupun jam baru menunjukkan jam 1.00 petang. Namun aku terus jua melangkah bertanyakan kepada staf yang ada tentang temuduga itu. Tanpa mahu membuang masa, aku telah dilayan dengan baik. Mereka adalah sekumpulan manusia yang mencari para graduan yang baru sahaja tamat pengajian dan belum mendapat sebarang pekerjaan dan ingin direkrut untuk menjadi sebahagian daripada pekerja GLC's dan MNC's. Maknanya mereka ini adalah recruitment agency lah kan.. Maka aku pun diminta mengisi pelbagai jenis borang. Setelah selesai, aku ditemuduga oleh seorang wanita yang manis sekali orangnya. Ditanya pelbagai perkara berkaitan butiran peribadi, tahap pendidikan dan kesanggupan dalam dunia pekerjaan. Pada mulanya aku kurang berkeyakinan dengan syarikat tersebut. Namun setelah aku sendiri yang pergi ke sana ternyata berbeza daripada yang aku bayangkan. Pertubuhan ini berada di bawah Kementerian Pengajian Tinggi yang membantu pelajar mencari peluang pekerjaan yang lebih baik. Memang sedikit berbeza dengan pandanganku sebelum aku ke sana. Maklum sahajalah, aku ini memang seorang yang sangat berhati-hati tentang perkara-perkara sebegini. Bukan apa, aku sekadar tidak mahu menjadi mangsa penipuan segala. Jadi segala yang diberitahu eprlu untuk diteliti sebaik mungkin. Apa pun, aku masih perlu untuk berhubung dengan pihak konsultan ini dari masa ke masa sekiranya aku telah mendapat pekerjaan sendiri. Sekiranya aku masih ingin menggunakan perkhidmatan mereka, aku hanya perlu megikuti program latihan yang mereka sediakan. Aku harap semuanya akan berjalan lancar..Semoga aku bukan sekadar mendapat pekerjaan tetapi membina karier. =D

Temuduga

Hari ini, 3 Jun 2010, aku akan menghadiri satu sesi temuduga di Ampang. Perasaan aku bercampur baur sekarang ini. Perasaan teruja, tak sabar dan tertanya-tanya memberlenggu diri ini. Apa yang aku lakukan hanyalah bersedia dengan soalan yang biasa diajukan semasa sesi temuduga, dan berdoa.. Selebihnya bertawakkal. Ini adalah kali pertama aku dipanggil bertemuduga setelah sebulan aku berehat menanti panggilan. Semalam semasa aku mendapat panggilan telefon daripada pihak penemuduga, aku memang seronok. Akhirnya panggilan yang aku nanti, kuperoleh jua. Apa lagi, malam tadi segigihnya aku mencari transkrip sepanjang 5 semester dan akhirnya aku menemui masalah di mana aku tidak bertemu dengan transkrip semester 4 aku. Alternatif yang aku ambil setelah tidak menjumpainya adalah mencetak daripada laman portal pelajar UPM. Hehe. Alhamdulillah segalanya selesai dan aku telah pun melengkapkan apa yang dikehendaki oleh pihak yang menemuduga. Namun setelah aku bersedia segala, aku terfikir adakah ini benar-benar terbaik bagi ku. Apa yang penting adalah aku ingin merasa pengalaman pertama bertemuduga selepas aku menamatkan pengajian ku sehingga peringkat ini. Mengharapkan sangat agar aku memperoleh pekerjaan ini, masih menjadi tanda tanya. Apa yang penting aku perlu menjalani temuduga ini untuk memberi pengalaman kepada diri dan megalami bagaimana rasanya pengalaman ditemuduga selepas pengalaman pertama ku di temuduga dalam mendapatkan pekerjaan di peringkat diploma 3 tahun yang lalu. Apa sekali pun, semoga bejaya! =D