Jun 12, 2010

"Keruntuhan keluarga telah melahirkan generasi yang lemah"

Kata-kata ini telah aku pinjam daripada seorang tokoh yang terkenal iaitu Rajmohan Gandhi.. Beliau merupakan cucu kepada Mahatma Gandhi. Aku setuju dengan kata-katanya yang merujuk keseluruhan generasi yang lemah berpunca daripada institusi kekeluargaan yang lemah. Di Malaysia, rata-rata masalah sosial dan psikologi yang berlaku adalah disebabkan kelemahan ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka. Aku sesungguhnya sangat kesal dengan kebanyakan ibu bapa yang kurang ilmu keibubapaan dan akhirnya anak yang menjadi mangsa. Seeloknya, didiklah anak mengikut keadaan anak itu sendiri dan lunaskan tanggunjawab sebagai ibu bapa menurut lunas-lunas Islam. Contohnya, kenalpasti kebolehan anak dan psikologi mereka dengan mendalam. Kenali sifat anak mengikut tururan kelahiran, bakat, kelebihan, kelemahan dan kemudiannya didiklah mereka menjadi hamba Allah yang sempurna didikannya. Anak-anak adalah amanah Allah. Jangan sesekali mendidik anak mengikut emosi semata-mata tanpa memikirkan akibat daripada tindakan yang diambil. Fikirlah bahawa anak-anak yang soleh yang akan mendoakan kesejahteraan ibu bapa selepas pemergian ibu bapa itu kelak. Belajarlah untuk mendidik kerana ilmu untuk mendidik itu sangat penting dan perlu ditimba dari hari ke hari. Didiklah anak mengikut usia kerana dalam Islam ada menyebut tentang perbezaan fasa dalam mendidik anak iaitu bermula daripada lahir sehingga anak berusia 7 tahun, ibu bapa perlu bermain dengan mereka, bermanja dengan mereka dan berlemah-lembut dalam didikan. Apabila anak berusia 7 tahun sehingga 14 tahun, pendekatan tegas perlu diambil dalam mendisiplinkan anak-anak terutamanaya dalam hal berkaitan ibadah dan akhlak, dan setelah berusia 14 tahun sehingga 21 tahun, ibu bapa perlulah melayan mereka seperti rakan agar segala yang tersembunyi di lubuk hati dapat diselami. Apa yang paling penting adalah ilmu keibubapaan itu tidak boleh sama sekali dipandang enteng kerana kelak akan membinasakan hati dan nurani anak itu sendiri yang akhirnya akan membawa kepada lemahnya generasi yang sepatutnya kuat dalam mendepani cabaran mendatang. Islam itu indah.Pelajari dan amalkanlah. Wallahualam..

No comments:

Post a Comment