Mar 24, 2010

Tips pembentangan yg baik

Hari ini entry saya tak bercerita macam tok nujum seperti dua entry yang sebelum ini, tapi lebih kepada nak berikan tips membuat pembentangan yang baik. Apa yang saya ingin kongsikan ini lebih mensasarkan golongan mahasiswa di kampus la sebab saya merupakan mahasiswa sekarang ini. Segala yang dikongsikan ini berdasarkan pengetahuan dan pengalaman saya sahaja, tidak lebih daripada itu. Yang mana baik, boleh diambil tapi yang mana dirasakan kurang sesuai, tak perlulah diambil. Abaikan sahaja.. Tips ini hanya boleh anda peroleh dari blog saya sahaja! Haha.. Walau bagaimanapun, tips yang saya berikan ini bukan bermaksud saya seorang yang terlalu hebat dalam hal ehwal pembentangan tetapi saya tahu ramai dalam kalangan pelajar yang masih kurang mahir dalam membuat pembentangan di dalam bilik kuliah dan akhirnya penderaan mental telah dilakukan ke atas audiences yang mendengar. Bayangkan sejam pembentangan digunakan untuk membaca slide presentation sahaja. Tak ke bengang orang yang menonton "aktiviti pembacaan" di hadapan bilik kuliah tersebut.. Saya pernah merasakan betapa tersiksanya apabila pembentangan yang dibuat sangat membosankan tetapi saya faham sebagai pelajar, kita semua masih belajar dan pembentangan adalah satu proses pembelajaran. Cuma kalau final year student yang buat macam itu, saya rasa memang it does not make sense, dear..

1. Persediaan sebelum pembentangan

Apa sahaja yang anda perlu lakukan, persediaan awal adalah sangat penting. Untuk membuat satu pembentangan yang baik dan informatif, seseorang pembentang (atau satu kumpulan pembentang) perlulah membuat persediaan yang rapi sebelum membuat seseuatu pembentangan. Kandungan pembentangan adalah asas yang penting dalam sesuatu pembentangan. Secara asasnya, pembentangan yang sering dibuat di kampus adalah bersifat penerangan tentang sesuatu topik dan tidak bersifat pembacaan ucapan. Kandungan yang diambil bukan sahaja perlu sahih dan berkaitan tetapi juga mampu untuk menarik perhatian audiences. Memang tidak dapat dinafikan  kadang-kala kita akan terperangkap untuk membincangkan perkara-perkara yang agak bosan dan terlalu bersifat fakta, namun pembentang yang baik adalah pembentang yang bersifat robust iaitu bijak mengendalikan pembentangan sekalipun topik perbincangan adalah sesuatu yang membosankan. Kandungan yang diperoleh perlu diteliti dan difahami oleh pembentang. Penelitian memerlukan penggunaan masa yang banyak. Bukan semua perkara yang diperoleh perlu untuk dibentangkan kerana saya pasti setiap pembentangan mempunyai limitasi masa. Maknanya, dahulukan kandungan yang paling penting dan berkaitan dengan topik perbincangan. Masukkan data yang paling berkaitan dan kaji isi kandungan pembentangan sama ada perlu atau pun tidak. Sekiranya pensyarah tidak keberatan untuk menilai kandungan-kandungan tersebut, ambil sedikit masa untuk isi pembentangan disemak terlebih dahulu agar apa yang anda bentangkan memenuhi skop perbincangan. Setelah kandungan bertepatan dengan skop perbincangan yang akan dibuat, berlatih lah untuk menerangkan kepada audiences dengan baik. Latihan adalah sangat penting kerana ketika pembentangan anda hanya diberikan masa untuk membentang bukan baru hendak berfikir apa yang perlu disampaikan. Berusahalah untuk membentang dengan yakin. Ingat! Practice makes perfect..

2. Bahan bantuan 

Elemen kedua yang penting dan perlu diberi perhatian adalah bahan bantuan yang digunakan semasa pembentangan dibuat. Bahan pembentangan perlulah bersesuaian dengan isu dan golongan sasaran. Contohnya kita boleh menggunakan kertas mahjung, manila kad, atau bahan-bahan bantuan yang lain. Namun kebiasaannya, para pembentang akan bersedia dengan slide presentation yang menarik. Kadang-kala rajah (seperti jadual, graf, foto) dan video amat membantu menarik perhatian audiences anda sekaligus menjadikan pembentangan anda lebih menarik. Sekiranya ingin menggunakan slide presentation seperti powerpoint, penggunaan warna juga perlu diberi perhatian. Jangan sampai warna tulisan dan latar belakang seakan-akan sama. Atau penggunaan warna yang terlampau terang. Memang ini amat mengganggu penglihatan audiences. Tidak kurang pentingnya, perkataan yang digunakan di dalam slide tersebut perlulah tidak lebih daripada 18 patah perkataan bagi setiap slide. Bukan semua yang anda hendak terangkan, anda sumbat sepenuh-penuhnya dalam slide tersebut. Ingat, anda bukan ingin bagi contoh karangan yang perlu disalin sebaliknya memberikan informasi untuk difahami oleh pendengar. Selain itu juga, tema slide juga memainkan peranan dalam menonjolkan konsep sesuatu pembentangan. Kebiasaannya pembentang perlu tampil matang, dan tidak menggunakan kartun sebagai elemen pembentangan. Apapun, ianya terpulang kepada konsep pembentangan kita.

3. Interaksi dengan audiences

Pembentangan dibuat bukan untuk kita tetapi untuk pendengar. Sentiasa ingat bahawa kita membentangkan sesuatu ilmu dan maklumat yang kita peroleh untuk dikongsikan dengan orang lain. Maka, lontaran vokal perlulah seiring dengan semangat kita untuk menyampaikan pembentangan tersebut. Bukan bermakna kita perlu memaksimumkan volume suara kita, tetapi biarlah pembentangan itu dapat didengari sehingga barisan terakhir bilik kuliah / bilik persidangan yang digunakan untuk membuat pembentangan tersebut agar apa yang kita ingin kongsikan, dapat memberi manfaat kepada para pendengar. Mungkin sesekali kita boleh menggunakan nada berbisik untuk menarik perhatian pendengar, namun jangan sesekali menggunakan satu nada yang sama dari awal pembentangan sehinggalah ke akhirnya. Takut-takut, nanti semua pendengar kita terlentok dengan "persembahan" kita nanti. Selain itu, penggunaan bahasa yang baik adalah sangat perlu dalam setiap pembentangan yang dibuat. Pembentangan juga perlulah lebih bersifat menerang dan memahamkan bukan sekadar membaca setiap butir perkataan di dalam slide dan mengharapkan pendengar memahami dan membuat konklusi sendiri. Penekanan tentang sesuatu perkara penting adalah perlu. Tidak sewajarnya kita memperlihatkan semua isi kandungan kita terlalu penting atau tidak penting. Bukan apa, nanti takut audiences penat dengan setiap perkara yang ditekankan atau memandang remeh setiap perkara yang dibentangkan. Selain aspek penekanan, kerjasama adalah perkara yang penting sekiranya pembentangan dilakukan secara berkumpulan. Para pembentang perlulah mengekalkan momentum yang sama agar keserasian di antara pembentang akan menjadikan pembentangan yang dibuat lebih menarik dan bertenaga. Maksud mengekalkan momentum di sini ialah kita perlu bekerjasama menerangkan sesuatu isu itu dengan baik dan bukan hanya mengharapkan pembentang yang lain berusaha untuk menutup kelemahan kita. Berusaha untuk libatkan audience dalam pembentangan juga adalah sesuatu yang baik. Semoga presentation yang kita buat lebih lively..

4. Aksesori

Aspek yang tidak kurang penting dalam menjadikan pembentangan kita menarik adalah dengan melengkapkan penampilan diri pembentang. Kadang-kala ada pembentangan yang dilakukan secara berkumpulan menampilkan para pembentang dengan warna yang sama. Idea ini mungkin boleh menampakkan aspek kerjasama dalam kalangan kumpulan tersebut. Pemakaian adalah elemen yang perlu diberikan keutamaan juga. Biasanya pembentang akan tampil dengan pakaian yang formal atau berimej korporat. Ianya bergantung kepada konsep pembentangan yang dibuat. Mungkin kalau pembentangan pelajar jurusan fesyen, berbeza sedikit. Tapi apa yang penting, pakaian bergantung kepada konsep pembentangan yang dibuat. Selain pakaian, aksesori lain yang dikenalpasti membantu dalam sesebuah pembentangan adalah bagaimana anda ingin menarik perhatian pendengar untuk sentiasa bersama anda dalam penbentangan anda agar apa yang anda sampaikan tidak sia-sia. Salah satu teknik penyampaian yang baik adalah dengan menggunakan membujuk dan meyakinkan audiences dengan isi pembentangan anda. Pastikan pandangan kita mencakupi semua bahagian (walaupun bukan semua orang), agar tidak ada yang terasa disisihkan dalam pembentangan kita. Seterusnya, pembentangan yang lain daripada yang lain biasanya akan menarik minat audiences. Biarlah yang "lain" itu sesuatu yang baik, bukan yang pelik dan tidak bersesuaian dengan target audiences anda. Sekali lagi, kembali kepada konsep pembentangan kita. Last but not least, pemakaian aksesori seperti barang kemas yang bergayut-gayut dan berbunyi-bunyi adalah sangat mengganggu. Elakkan!

Semoga berjaya!

No comments:

Post a Comment